Jumaat, 25 Mei 2012

Kedai Rakyat 1 Malaysia, Jimat Belanja Pelajar

KUALA LUMPUR: Penjualan produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Pekan Siswa, Universiti Malaya (UM) berjaya membantu pelajar mengurangkan perbelanjaan harian terutama keperluan makanan dengan harga berpatutan. Selain itu, penjualan produk pertama beroperasi di institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan dapat membantu pelajar merancang perbelanjaan secara bijak memandangkan kos sara diri meningkat di bandar raya. 

Pelajar Fakulti Seni Persembahan, Ashari Sapar Mursalin, 24, berharap produk KR1M diperluaskan ke beberapa lokasi seperti di kolej kediaman penuntut memandangkan lokasi sekarang terletak jauh dari penempatan mereka. 

“Saya mencadangkan KR1M ini turut ditempatkan di kolej kediaman pelajar kerana kami menetap di Kolej Tun Syed Zahiruddin (KK9) yang terletak di luar kampus induk. 

“Jika kami ingin membeli produk ini, kami terpaksa menaiki motosikal atau menaiki bas. Secara tidak langsung, kami juga perlu mengeluarkan duit untuk kos pengangkutan,” katanya yang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana. 

Rakannya, Muhammad Gadaffie Sharani, 23, pula berkata, penjualan produk itu sememangnya membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah berjimat. 


“Bagi pelajar yang mengambil pinjaman PTPTN, perkhidmatan ini mampu mengurangkan perbelanjaan dan penjimatan ini dapat disalurkan ke perbelanjaan lain,” katanya. 

Bagi pelajar Indonesia, Rachmawati Muhammad Husni, 20, ini adalah salah satu usaha yang sangat memberangsangkan daripada kerajaan berbanding negaranya yang tidak menawarkan perkhidmatan sebegitu. 

“Sebagai seorang perantauan, usaha ini sangat membantu saya untuk berbelanja secara berhemah kerana kos pengajian luar negara sememangnya memerlukan perbelanjaan yang tinggi. 

“Menarik mengenai penjualan produk ini, dengan hanya RM10, saya mampu membeli lima barangan yang berbeza. Ini sangat menjimatkan dan saya sangat menyokong KR1M ini,” katanya yang sudah menetap selama dua tahun di Malaysia.
 



^_^ Ambillah Manfaat Daripada Entri Di Atas ^_^

Tiada ulasan:

Catat Ulasan