Selasa, 5 Jun 2012

Kikis Sikap Boros


PETALING JAYA: Menepati pepatah sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit, tergambar keriangan di wajah kira-kira 340 murid sekolah yang bersemangat menabung sebagai bekalan ketika memerlukan wang. Pelajar yang ditemui sempena Program Jom Menabung Pada Usia Muda di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Medan, Petaling Jaya, baru-baru ini nyata bersyukur dan gembira. Ia mendidik murid mengenai kepentingan menyimpan sedikit wang saku yang diberikan ibu bapa mereka.
Muhammad Syirazie Fahrizan Muhammad Kamarul Azwan, 9, berkata selama ini dia tidak mengendahkan tabiat menabung yang sentiasa dititikberatkan ibunya.
“Bapa saya memberi belanja sekolah RM3 sehari dan setakat ini semuanya dihabiskan membeli barangan yang dihajati. Kadang-kadang tidak cukup pun wang belanja yang diberi,” katanya.

Marina Fasha Abdul Malique, 10, berkata, dia gemar menghabiskan wang saku dengan membeli barangan permainan seperti pelekat dan pensel warna.

Marina juga mengakui sukar melawan ‘ketagihannya’ itu dan berharap melalui program berkenaan dia dapat menerapkan sikap menabung.

“Saya pantang melihat pelekat yang cantik dan berwarna-warni. Kalau ternampak pasti saya membelinya dengan banyak.

“Memang susah nak menyimpan meskipun ibu memberi belanja RM5 sehari,’’ katanya yang turut cemerlang dalam akademik.

Berbeza dengan murid tahun empat, Ainul Aleesha Asyikeen Abdul Rahman yang memang sejak kecil diasuh untuk menabung walaupun sedikit.

Justeru, dia menganggap Program Jom Menabung Pada Usia Muda seperti pepatah orang mengantuk disorong bantal.

“Saya tertarik dengan program ini dan ia pasti meningkatkan lagi azam untuk terus menabung.

“Mudah-mudahan bertambah banyaklah jumlah wang simpanan saya. Saya bukannya datang dari keluarga yang berada,” katanya yang kehilangan bapa empat tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

Program anjuran Kelab Rakan Muda Petaling Jaya (PJ) Selatan itu dirasmikan Kamarul Azlan Mohamad Hanafiah selaku Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Turut serta, Pegawai Penyelaras Parlimen PJ Selatan, Sharon Lam, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Petaling, Salim Murid, Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Selangor (MBS), Badrul Hisham Badrudin dan Guru Besar sekolah berkenaan, Abdul Rahim Majid.

Bagi Presiden Kelab Rakan Muda PJ Selatan, Jamaluddin Alias, pihaknya berasa bangga dan bersyukur kerana menerusi program itu menanam minat menabung di kalangan murid.

“Kami merasakan program nilai murni seumpamanya patut diteruskan memandangkan Taman Medan ini mempunyai ramai kanak-kanak termasuk murid.

“Pemantauan mendapati ramai antara mereka (kanak-kanak) yang boros dan sering membelanjakan duit belanja sekolah di tempat-tempat tidak sepatutnya,” katanya.
 Plagiat daripada: http://www.hmetro.com.my


^_^ Ambillah Manfaat Daripada Entri Di Atas ^_^

Tiada ulasan:

Catat Ulasan