Rabu, 6 Jun 2012

Tips Bebas Hutang



Dalam kehidupan hutang memang merupakan sesuatu yang terpaksa dihadapi oleh kita. Tak kira tua, muda , berkahwin, bujang pastinya sedikit sebanyak hutang membelenggu kita. Hutang memang tak dapat dielakkan dalam dunia moden kini.

Berhutang tak ubah seperti membiarkan kehidupan anda menjadi hamba kepadanya. Anda bekerja separuh mati, berhempas pulas hanya semata-mata untuk membayar lebih banyak wang kepada pemberi pinjaman anda.

Jika perkara ini berterusan anda bukan sahaja gagal untuk mencapai kekayaan, bahkan anda boleh jatuh miskin!

Jadi bagaimana untuk mengelakkan daripada perkara sebegini terus berlaku?
Jawapannya, anda terlebih dahulu perlu tahu dan faham tentang ilmu pengurusan hutang.

Setelah anda faham, saya percaya adalah jauh lebih mudah untuk anda menghapuskan hutang dan seterusnya bebas dari masalah hutang yang berpanjangan.

Kehidupan yang lebih kompleks pada masa ini dan ramai orang semakin lebih giat untuk bekerja. Banyaknya pengeluaran untuk biaya hidup, sekolah, bayar asurans, dan sebagainya mendorong seseorang untuk memaksimumkan jam kerjanya bagi mendapatkan wang ekstra. Namun banyak juga diantara kita yang ternyata malah terjebak dalam hutang yang rasanya tiada habisnya. Begitu rumitnya masalah hutang ini, sehingga sampai mati pun Anda akan terus dikejar-kejar olehnya.

Hari ini saya akan membantu anda bebas hutang supaya anda mempunyai duit lebih untuk menikmati hidup yang lebih baik.. Biasanya sistem yang mudah adalah yang terbaik. Kalau dapat selesaikan semua hutang, oh alangkah bahagianya hidup. Pendapatan tak lagi ‘dikongsi’ dengan bank.

Anda perlu kuatkan semangat untuk mengikuti 23 tip berikut.. dan matlamat anda untuk bebas daripada hutang pasti akan tercapai.
  1. Cari ilmu Kewangan – Hadiri kelas, seminar dan bengkel kewangan, baca sebanyak mungkin buku tentang kewangan, faham dan cuba ikut apa yang disampaikan.
  2. Dapatkan khidmat perancang kewangan yang bertauliah, seorang perancang kewangan bukan penjual produk, cari mereka yang membantu anda merancang kewangan anda dengan mengenakan yuran. Ini bagi mengelakkan seorang perancang kewangan menjual sesuatu produk yang tidak diperlukan oleh anda oleh kerana mereka mempunyai kepentingan didalam produk tersebut.
  3. Praktikan apa yang telah anda pelajari. Tiada gunanya belajar tanpa mempraktikkannya.
  4. Antara ilmu asas yang perlu ada pada diri anda adalah mengenai aliran tunai dan budget atau belanjawan. Seperti juga kesihatan diri, aliran tunai akan menentukan tahap kesihatan kewangan anda, jika anda mempunyai aliran tunai negatif maka kuranglah kebolehupayaan anda untuk mempunyai wang yang cukup manakala budget pula seperti diet (makan makanan yang berkhasiat untuk badan anda), budget yang baik akan memastikan bahawa segala belanjawan yang dibuat mempunyai impak kewangan yang positif keatas diri anda.
  5. Menstrukturkan semula kewangan anda (pendapatan dan hutang).
  6. Berdisiplin dan berusaha untuk hidup berdasarkan kemampuan diri sendiri.
  7. Percaya pada diri sendiri dan tidak mudah mengalah.
  8. Rajin menabung dan sabar menanti.
  9. Bijak mengawal keinginan dan nafsu diri sehingga diri benar-benar mampu mendapatkan barang yang diidam-idamkan.
  10. Ada kemahiran untuk membezakan antara ‘keperluan’ dan ’kemahuan’.
  11. Cubalah membelanjakan wang dengan jumlah lebih kecil dibandigkan dengan pengeluaran anda.
  12. Berhenti guna kad kredit. Dua dari 3 kad kredit dah dipotong. Tinggal lagi satu untuk isi minyak dan online transaction. Beli barang harian semua cash. Termasuk beli belah untuk hari raya. Memang terasa kurangnya belanja tanpa kad kredit. Setiap kali belanja dah beringat boleh belanja sekian banyak je. Sebab cash banyak tu je bawak..
  13. Jika anda sedang memiliki hutang kad kredit maka cubalah untuk melunasnya terlebih dahulu, dan jika sudah parah maka cubalah mencari bantuan dari nasihat kewangan.
  14. Cubalah memotong anggaran dari kegiatan bulanan anda yang sekiranya banyak mengeluarkan dana.
  15. Jangan membeli barang hanya kerana barang itu ada diskaun, ini akan membuat anda menjadi “ketagihan belanja”  dan hasilnya anda akan dibebani dengan hutang.
  16. Cubalah hidup dengan kemampuan anda.
  17. Jangan banyak makan diluar, cubalah memasak makanan sendiri di rumah. Ini jauh lebih murah dan lebih jimat.
  18. Simpan lebihan wang anda untuk keperluan yang lebih “urgent”. Dan cubalah menabung dari sekarang!
  19. Juallah barang-barang anda yang dirasa tidak perlu.
  20. Kalau ada hutang kecil-kecil setakat 2-5 ribu tu. Keluarkan saving. Cantas semuanya. Jangan biarkan ia menghantui hidup anda lagi!
  21. Tulis apa yang dibelanjakan. Cuba gunakan google docs. Buat analisa perbelanjaan setiap hari/minggu/bulan. Dengan cara menulis ni, terasa lebih sedar bagaimana dan kemana wang tu mengalir.
  22. Ada keberanian untuk melaksanakan segala yang dinyatakan di atas.
  23. Berdoa banyak-banyak agar Tuhan permudahkan urusan kita untuk melunaskan hutang, berdoa agar akan selesailah segala hutang-hutang itu dan berdoa agar hidup tidak lagi dibebani hutang yang menyusahkan
Semoga Tip ini dapat membantu anda.. Begitulah antara langkah-langkah yang diambil. Harapnya dengan usaha sedikit demi sedikit ini maka akan terlangsailah segala hutang yang ada dan bolehlah kita menjalani hidup tanpa hutang dengan aman dan tenteram.

^_^ Ambillah Manfaat Daripada Entri Di Atas ^_^

Selasa, 5 Jun 2012

Merempat Akibat Tidak Berhemah Dalam Pembelanjaan

Hidup di bandaraya, khususnya Kuala Lumpur jika hanya bergaji RM2,000 sebulan untuk menanggung keluarga dan perbelanjaan lain, sememangnya tidak cukup, silap-silap terpaksa ikat perut terutama mereka ada anak ramai. 

Malah, setiap bulan, ramai warga kota akan berkerut dahi dan menghela nafas panjang apabila gaji bulanan, mengalir keluar macam air saja selepas ditolak pelbagai perbelanjaan asas, yang tinggal cuma sejumlah kecil untuk digunakan sehingga bulan akan datang. Begitulah putaran dilalui setiap bulan oleh sebilangan warga kota.

Mungkin sebab itu kebanyakan warga kota keluar mencari rezeki, usai subuh dan kembali ke rumah hanya selepas Maghrib. Ada segelintir pula yang terpaksa kerja lebih masa untuk menambah pendapatan hingga ke larut malam. Realitinya, walaupun gigih mencari rezeki siang dan malam, masih ramai warga kota masih dibelenggu kemiskinan. 

Beberapa ahli sosiologi berpendapat, antara faktor kemiskinan bandar kerana golongan ini tidak sanggup atau tidak berupaya merebut segala peluang ekonomi disediakan kerajaan. Faktor lain, ada semata-mata berserah kepada nasib dan takdir, di samping institusi keluarga tidak stabil dan rapuh.


Presiden Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia, Dr Jariah Masud, berkata walau apa pun pendapat diberikan, isu kemiskinan bandar bersifat kompleks dan mempunyai pelbagai dimensi berbeza. 


Jariah berkata, banyak faktor berinteraksi secara dinamik, menyumbang ke arah senario itu dan ia membabitkan semua kaum di Malaysia serta memerlukan sokongan dan pembabitan keseluruhan sistem dalam negara ini bagi mengubahnya. 

Katanya, kenaikan kos hidup memang berlaku tetapi harus ingat tempiasnya lebih dirasakan golongan miskin berbanding orang kaya atau berpendapatan tinggi. Apatah lagi di bandar besar. Justeru, sesuatu harus dilakukan, sekali pun tidak secara total ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jumlah keluarga miskin di bandar. Ironinya, isu ini juga perlu dilihat dalam skop lebih luas merentasi masalah sosial semata-mata kerana tanggungjawab bukan hanya disandarkan pada kerajaan tetapi semua termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan individu.

“Definisi kemiskinan di bandar, mengikut konsep relatif ialah isi rumah yang berpendapatan RM3,000 sebulan. Kajian pernah dilakukan mendapati, perbelanjaan isi rumah keluarga di bandar sebulan ialah RM2,465, berbanding luar bandar hanya RM1,599. Ini mengambil kira isi rumah merangkumi suami isteri dan tiga anak. Lazimnya, bagi keluarga miskin jumlah anak lebih daripada jumlah itu,” katanya. 

Jariah berkata, pendapatan isi rumah keluarga di bandar rendah tidaklah menghairankan kerana berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh 2010, kadar penyertaan tenaga buruh bekerja di bandar dengan jumlah paling tinggi ialah mereka yang berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu 39 peratus. Berkelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR), 13 peratus manakala peringkat ijazah hanya 12 peratus. 

Katanya, dengan tahap pendidikan SPM dan PMR sudah tentu gaji bulanan diterima tidaklah tinggi berbanding mereka memiliki ijazah, kecuali yang bekerja sendiri. 

Bagaimanapun Jariah berkata, gaya hidup individu berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan juga menyumbang kepada penentuan ukuran tahap kemiskinan berkenaan.

Tambahnya, berbelanja sepatutnya mengikut keutamaan dan keperluan, namun apa yang berlaku pada hari ini, semua perkara dilihat keperluan, lantaran keperluan itu akan cuba dipenuhi walaupun hakikinya ia tidak diperlukan sama sekali.


Jariah berkata, contohnya apabila ada keinginan mahu minum kopi. Bancuh sendiri di rumah lebih menjimatkan tetapi jika ingin beli dan dapatkan yang murah, mungkin boleh minum di warung. Persoalannya, mengapa pergi ke kafe kopi mewah walaupun sudah tahu pendapatan cukup.

“Kita sebagai pengguna sewajarnya perlu seimbangkan perbelanjaan dan pendapatan yang diperoleh. Kena tahu apa itu keperluan asas. Oleh itu pengguna perlu lebih berpengetahuan dan ada kemahiran membuat keputusan untuk diri sendiri. Jangan berbelanja ikutkan nafsu, perasaan atau terikut-ikut gaya orang lain. Hakikatnya kita selalu jadi tidak rasional,” katanya turut menegaskan ada segelintir yang tidak tahu dan pasti arah tuju kehidupan sendiri.

Jariah berkata, umumnya kemiskinan di bandar boleh dilihat berlaku kerana tiada duit atau pendapatan rendah, tiada jaringan sosial dan perkhidmatan sosial yang murah berbanding kehidupan di luar bandar. 

Tegasnya, kehidupan di bandar semuanya perlukan duit dan membabitkan kos tinggi, termasuklah menguruskan anak dan beriadah berbanding, kehidupan di luar bandar selain kos hidup lebih rendah, mereka ada alternatif untuk menambah pendapatan selain bergantung sepenuhnya dengan hasil wang gaji bulanan. 

“Di luar bandar, boleh manfaatkan tanah untuk bercucuk tanam secara kecil-kecilan yang boleh menampung keperluan harian dan selebihnya dijual. Ini membantu menjimatkan perbelanjaan dapur mereka. 

“Lebih menarik, komuniti atau jalinan kejiranan di luar bandar lebih erat dan ini memberikan kebaikan. Misalnya, jika ibu bapa bekerja, jiran boleh memerhatikan anak dan tidak perlu hantar ke tempat pusat jagaan berbayar. Berbeza di bandar semuanya berasaskan perniagaan dan perlu dibayar.  



Plagiat daripada: bharian.com.my

^_^ Ambillah Manfaat Daripada Entri Di Atas ^_^

Kikis Sikap Boros


PETALING JAYA: Menepati pepatah sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit, tergambar keriangan di wajah kira-kira 340 murid sekolah yang bersemangat menabung sebagai bekalan ketika memerlukan wang. Pelajar yang ditemui sempena Program Jom Menabung Pada Usia Muda di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Medan, Petaling Jaya, baru-baru ini nyata bersyukur dan gembira. Ia mendidik murid mengenai kepentingan menyimpan sedikit wang saku yang diberikan ibu bapa mereka.
Muhammad Syirazie Fahrizan Muhammad Kamarul Azwan, 9, berkata selama ini dia tidak mengendahkan tabiat menabung yang sentiasa dititikberatkan ibunya.
“Bapa saya memberi belanja sekolah RM3 sehari dan setakat ini semuanya dihabiskan membeli barangan yang dihajati. Kadang-kadang tidak cukup pun wang belanja yang diberi,” katanya.

Marina Fasha Abdul Malique, 10, berkata, dia gemar menghabiskan wang saku dengan membeli barangan permainan seperti pelekat dan pensel warna.

Marina juga mengakui sukar melawan ‘ketagihannya’ itu dan berharap melalui program berkenaan dia dapat menerapkan sikap menabung.

“Saya pantang melihat pelekat yang cantik dan berwarna-warni. Kalau ternampak pasti saya membelinya dengan banyak.

“Memang susah nak menyimpan meskipun ibu memberi belanja RM5 sehari,’’ katanya yang turut cemerlang dalam akademik.

Berbeza dengan murid tahun empat, Ainul Aleesha Asyikeen Abdul Rahman yang memang sejak kecil diasuh untuk menabung walaupun sedikit.

Justeru, dia menganggap Program Jom Menabung Pada Usia Muda seperti pepatah orang mengantuk disorong bantal.

“Saya tertarik dengan program ini dan ia pasti meningkatkan lagi azam untuk terus menabung.

“Mudah-mudahan bertambah banyaklah jumlah wang simpanan saya. Saya bukannya datang dari keluarga yang berada,” katanya yang kehilangan bapa empat tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

Program anjuran Kelab Rakan Muda Petaling Jaya (PJ) Selatan itu dirasmikan Kamarul Azlan Mohamad Hanafiah selaku Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Turut serta, Pegawai Penyelaras Parlimen PJ Selatan, Sharon Lam, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Petaling, Salim Murid, Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Selangor (MBS), Badrul Hisham Badrudin dan Guru Besar sekolah berkenaan, Abdul Rahim Majid.

Bagi Presiden Kelab Rakan Muda PJ Selatan, Jamaluddin Alias, pihaknya berasa bangga dan bersyukur kerana menerusi program itu menanam minat menabung di kalangan murid.

“Kami merasakan program nilai murni seumpamanya patut diteruskan memandangkan Taman Medan ini mempunyai ramai kanak-kanak termasuk murid.

“Pemantauan mendapati ramai antara mereka (kanak-kanak) yang boros dan sering membelanjakan duit belanja sekolah di tempat-tempat tidak sepatutnya,” katanya.
 Plagiat daripada: http://www.hmetro.com.my


^_^ Ambillah Manfaat Daripada Entri Di Atas ^_^